Tajuk : Laskar Pelangi
Penulis : Andea Hirata
Penerbit : PTS Litera Utama Sdn. Bhd
Harga : RM28.00/RM31.00
Aku baru sahaja menghabiskan novel ini. Walaupun masa begitu terhad aku curi-curi sedikit masa yang ada untuk menyelesaikan pembacaanku. Kisah yang sangat menarik. Kadang terdetik di hati ini rasa cemburu dan iri terhadap kekuatan nilai persahabatan yang ditampilkan Penulis.
Laskar pelangi satu nama yang mengisahkan tentang kehidupan 10 orang pelajar Muhammadiyah, sekolah kampung yang hampir-hampir dimusnahkan pada ketika itu. Ikal (penulis), Lintang, Mahar, Kucai, Sahara, Samson, Trapani, Ah Kiong, Shahdan dan Harun. Walaupun dari kalangan keluarga miskin, anak-anak ini nekad dan bersemangat untuk bersekolah. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri lebih-lebih lagi Lintang dan Mahar yang memiliki kecerdasan dalam bidang masing-masing hinggakan nama sekolah Muhammadiyah menjulang dengan kemenangan dalam seni persembahan yang diterajui oleh Mahar, juga pertandingan kecerdasan yang dipimpin oleh Lintang. Kegeniusan mereka mampu mengalahkan sekolah PN yang selama ini menggondoli piala kemenangan. Mengenangkan kehidupan waktu kecil amatlah menyeronokkan. Sesuatu yang manis sukar untuk dilupakan. Teringat aku pada teman-teman waktu kecilku. Dan ketika ini mereka hidup dalam dunia mereka.
Terselit juga kisah cinta monyet Ikal dengan gadis Tionghua “Ah Ling”. Aku suka pada puisi-puisinya penuh dengan siratan. Andai aku penerima puisi seperti ini. Pasti hatiku mekar berbunga seperti di awang-awangan J
Bunga Krisan
Ah Ling, lihatlah ke langit
Jauh tinggi di angkasa
Awan-awan putih yang berarak itu
Aku kirim bunga-bunga krisan untukmu
Aku suka juga pada pesanan Tok Bayan Tula. “Kalau ingin lulus ujian, buka buku, belajar”. Pesanan yang tertuju pada Mahar dan Flo yang terlalu taksub dengan dunia kedukunan Tok Bayan Tula. Ini sangat-sangat menyedarkan aku, tiada jalan mudah untuk berjaya tanpa usaha yang gigih. Walau bagaimanapun, tidak semua impian akan menjadi kenyataan. Kadang sesuatu yang memeritkan lebih menghantui. Itulah yang dinamakan kehidupan. Kisah 10 orang sahabat dan pelajar ini banyak mengajar aku bahawa manusia ini adalah unik. Ketentuan masa depan yang tiada sesiapa pun ketahui hinggakan berlakunya apa yang telah ditulis oleh-NYA. Aku berharap aku segigih Bu Mus yang mampu mendidik anak-anak ini.
2 ulasan:
"lukisan alam tentang keikhlasan guru,memoir kegigihan murid yang serba serbinya kurang.....cerita
tentang pengorbanan,takdir,tuah dan nasib"
Catat Ulasan